Sunday, April 24, 2011

Linda Rafar Bermain Emas


Pelaburan emas Linda Rafar
Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my
SELEBRITI Linda Rafar menyifatkan menyimpan emas merupakan pelaburan yang bijak dan menguntungkan.
PELAKON dan kini ahli perniagaan, Azlinda Rafar, 33, pada mulanya tidak faham mengapa sesetengah orang menyimpan emas sebagai pelaburan masa hadapan. Baginya, pelaburan yang menguntungkan adalah dengan membeli rumah dan menjalankan perniagaan yang dapat memberikan pulangan wang yang banyak.
Bagaimanapun keadaan itu berubah apabila dia mula diperkenalkan dengan pelaburan emas melalui abang iparnya yang merupakan pembekal emas. Melalui syarikat Serambi Emas, dia yang mudah dikenali dengan panggilan Linda akhirnya terjebak dengan perniagaan berasaskan emas dan mengakui ia merupakan pelaburan yang menguntungkan.
“Daripada seorang yang tidak faham mengenai emas, kini saya dan seluruh ahli keluarga terbabit dengan perniagaan dan pelaburan emas secara aktif.
“Sekiranya saya mendapat pendedahan lebih awal mengenai emas, mungkin saya telah menceburi bidang ini lebih awal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam baru-baru ini.
Harga sentiasa naik
Menurut Linda, dia memilih emas kerana selain mudah untuk disimpan, dia tidak perlu bimbang dengan kejatuhan harganya. Harga emas sentiasa naik dari tahun ke tahun dan boleh digadaikan pada bila-bila masa sahaja.
“Walaupun harga emas kadangkala turun naik, tetapi jika dilihat dengan lebih teliti, harganya tetap akan naik dari tahun ke tahun. Pemilik emas pula boleh menjual emas mereka pada bila-bila masa sahaja sekiranya memerlukan wang dengan segera.
“Ia ibarat simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Setiap tahun ada keuntungan dan pemiliknya tidak akan menanggung kerugian selagi melabur. Tetapi emas lebih mudah diuruskan,” katanya.
Menceritakan perkembangan perniagaan emasnya, Linda memberitahu, selain ahli keluarga, di bawah agensinya dia mempunyai lebih 30 orang ejen yang bergerak secara aktif.
sumber:kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment